suria

Weststar, AgustaWestland Tandatangani Perjanjian Bernilai RM470 Juta

LANGKAWI: Weststar Aviation Services Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara, menyasarkan memperoleh lebih banyak kontrak minyak dan gas serantau menerusi pembelian 10 helikopter baharu bernilai RM470 juta (AS$150 juta) daripada AgustaWestland.

Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata Weststar kini memiliki hanpir RM5 bilion nilai kontrak dengan syarikat O&G seperti Petronas Carigali, ExxonMobil, Talisman, Newfield, Petrofac, Total dan Carigali Hess yang menjayakan operasi luar pesisir di Semenanjung Malaysia.

"Terdapat banyak kontrak minyak dan gas di luar Malaysia, dan dalam industri ini terdapat hanya beberapa peserta serantau.

"Kebanyakan helikopter yang beroperasi dalam industri itu adalah dari Eropah dan Amerika Syarikat (US).

"Oleh itu apa yang akan kami lakukan sekarang ialah pergi ke Vietnam, Indonesia dan Myanmar dan mendapatkan kontrak di sana," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian pembelian dengan syarikat helikopter yang berpangkalan di Itali itu.

Ia berlangsung sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11).

Syed Azman berkata peluang untuk memenangi kontrak "sangat baik" memandangkan syarikat itu yakin terhadap keupayaannya untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif, selain lokasinya di rantau ini.

Beliau menyasarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion kontrak bernilai antara US$50 juta dan US$100 juta setiap satu, bergantung kepada tempoh, di rantau ini dalam tempoh 12 bulan yang akan datang.

Pemeteraian perjanjian itu pada Rabu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pembelian terkini itu merupakan tambahan lima helikopter AW139 luar pesisir, helikopter VIP korporat, dua AW169 dan dua helikopter AW189.

Tempahan ini merupakan tambahan kepada perjanjian yang dimeterai oleh Weststar pada suku pertama 2010 untuk sembilan helikopter AW139 luar pesisir dan sebuah AW139 lagi pada suku kedua tahun lepas.

Pembelian itu menjadikan kumpulan helikopter Weststar sebanyak 29 buah.

Syed Azman berkata Weststar dan AgustaWestland akan terus meningkatkan hubungan di Malaysia dan di rantau ini yang memperlihatkan peningkatan pesat industri minyak dan gas.

"Memandangkan kami sedang merancang untuk berkembang di peringkat serantau, AgustaWestland dan Weststar akan terus menjalin usaha sama bagi menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti bagi menyokong operasi kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AgustaWestland, Bruno Spagnolini menyuarakan keyakinan bahawa barisan produk teknologi baharu berprestasi tinggi syarikat itu akan memenuhi keperluan Weststar dan pelanggannya dalam pasaran ia beroperasi.

"Sebagai operator terbesar AW139 di rantau ini serta penyedia utama perkhidmatan helikopter luar pesisir, kami sangat bangga memperoleh weststar sebagai pelanggan utama bagi kedua-dua AW169 dan AW189," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain