suria

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Bharu 2011 Dibentang Di Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 akan menjelaskan dengan terperinci fungsi dan peranan perbadanan dalam proses pembangunan semula Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Dengan adanya rang undang-undang itu juga sekaligus dapat mewujudkan keyakinan di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu serta bakal-bakal pemilik hartanah Kampong Bharu untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata dengan adanya rang undang-undang itu, ia dapat menggalak, merangsang, meningkat, memudah dan menyelaras pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu serta untuk mengadakan peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya.

Katanya, kerajaan telah mengambil sikap secara telus dan terbuka dalam semua proses penggubalan Rang Undang-undang itu termasuk mendengar keluhan, pandangan dan cadangan balas pemilik dan pewaris tanah di Kampong Bharu itu.

"Maka, perancangan untuk membangunkan kawasan yang dimiliki oleh orang Melayu yang bernilai tinggi ini dapat diteruskan agar dapat dinikmati oleh pemilik dan pewaris tanah di Kampong Bharu dengan mengekalkan pemilikan kepada orang-orang Melayu sahaja tanpa kompromi untuk menjadikan Kampong Bharu menjadi simbol kemajuan dan kegemilangan orang Melayu di tengah-tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara Rabu.

Menurut Raja Nong Chik, rang undang-undang itu mengandungi tujuh bahagian dan 55 Fasal yang antaranya menyentuh mengenai keanggotaan perbadanan yang terdiri daripada pengerusi yang dilantik tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri manakala Timbalan Pengerusi pula dilantik di kalangan tuan punya tanah dan pewaris tanah di Kampung Bharu.

Raja Nong Chik berkata Kampong Bharu kini dilihat sebagai kawasan pembangunan kurang teratur dan kurang membangun berbanding kawasan-kawasan lain di sekitarnya di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya jika keadaan tersebut berterusan, adalah dibimbangi kawasan itu akan menjadi kurang membangun yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang dikelilingi kawasan-kawasan yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman, kawasan Jalan Tun Razak dan kawasan Jalan Ampang.

Justeru, katanya, cadangan pembangunan semula Kampong Bharu yang dapat menguntungkan semua pihak perlu digerakkan dan digembleng bagi menjana pertumbuhan ekonomi orang Melayu di Kuala Lumpur, khususnya di kalangan penduduk di kawasan itu.

"Perancangan pembangunan Kampong Bharu tidak harus dilihat dan dianggap sebagai usaha untuk mengikis hak dan kepentingan orang Melayu di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur.

"Dalam usaha untuk memastikan keseimbangan di antara memaksimumkan potensi pembangunan dengan memelihara dan menjaga kepentingan orang Melayu di kawasan tersebut, peranan dan penglibatan aktif pihak kerajaan dalam membangunkan semula Kampong Bharu dilihat sebagai penggerak dan pemudah cara kepada kejayaan pembangunan semula Kampong Bharu," katanya.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar berusia 110 tahun dan kini mempunyai 35,000 penduduk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain