suria

Program Kerja 2012 Matrade Akan Terus Penuhi Keperluan Inisiatif Kerajaan

KUALA LUMPUR: Program Kerja 2012 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus memenuhi keperluan strategik Model Ekonomi Baharu (MEB), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Wong Lai Sum, dalam satu kenyataan berkata dalam merangka Program Kerja 2012, Matrade telah mengambil kira beberapa faktor utama, seperti kesinambungan program di bawah ETP dan RMK10.

Faktor-faktor lain termasuk perubahan dalam struktur Matrade yang lebih menumpukan kepada industri, keperluan mustahak untuk menggandakan eksport barang-barang dikilang menjelang 2015 dan cabaran-cabaran lain dalam ekonomi domestik dan persekitaran dagangan global.

"Dengan isu-isu ini diambil kira, Program Kerja 2012 akan menumpukan kepada pasaran strategik utama, mencari peluang eksport bagi sumber pertumbuhan baharu, mengukuhkan daya asing pengeksport Malaysia, menambah baik penyediaan perkhidmatan bagi menyokong aktiviti penggalakan eksport dan bekerjasama dengan sektor swasta bagi jentera baharu untuk akses pasaran," katanya.

Komponen utama Program Kerja 2012 adalah melaksanakan lebih 120 aktiviti penggalakan perdagangan yang melibatkan penyertaan pameran perdagangan antarabangsa, Misi Pemasaran Khusus (SMM), gerai promosi, Misi Belian Yang masuk (IBM), aktiviti penggalakan bersama dan penganjuran tiga pameran.

Pameran-pameran tersebut ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (INTRADE).

"Sektor-sektor industri yang akan diliputi oleh aktiviti ini di bawah Program Kerja 2012 ialah perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, elektrik dan elektronik dan ICT, produk dan perkhidmatan kesihatan dan alam sekitar, gaya hidup, mesin, pengangkutan, logistik dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), minyak dan gas dan kimia, makanan diproses, bioteknologi dan halal serta perkhidmatan perniagaan dan profesional.

"Aktiviti penggalakan perdagangan ini akan dijalankan di wilayah geografi mengikut pembahagian pasaran," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain