suria

Presiden Turkmenistan Diberi Sambutan Rasmi Di Dataran Parlimen

KUALA LUMPUR: Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov, yang tiba semalam untuk lawatan tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Dataran Parlimen di sini Rabu.

Ketibaan Berdimuhamedov pada pukul 9.30 pagi disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi yang diketuai oleh Lt Mohd Azizan Yahya.

Presiden Turkmenistan seterusnya memeriksa perbarisan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Major Ahmad Huzaimi Mohd Ali.

Upacara sambutan itu disusuli tembakan meriam 21 das.

Berdimuhamedov dan delegasinya kemudian diperkenalkan kepada jemaah menteri dan anggota perkhidmatan diplomatik asing yang menghadiri upacara itu.

Ini merupakan lawatan pertama Berdimuhamedov ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada 14 Feb 2007.

Menurut Wisma Putra, lawatan julung kali Presiden Turkmenistan itu akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Malam ini Tuanku Mizan akan meraikan Berdimuhamedov pada jamuan malam negara di Istana Melawati, Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain