suria

Microsoft Main Peranan Tingkatkan Pencapaian Generasi Muda M'sia

KUALA LUMPUR: Microsoft pada masa ini sedang memberi tumpuan ke arah membantu generasi muda di negara ini bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang pengajian tinggi, pekerjaan dan keusahawanan.

Ketua Warga Korporat Microsoft, Lori Harnick berkata dengan menyediakan mereka latihan serta program seperti latihan kemahiran teknologi atau latihan kemahiran perniagaan, generasi muda yang bersemangat ini akan berupaya mendapatkan peluang melanjutkan pengajian di universiti, memperoleh pekerjaan dan membina perniagaan sendiri.

Katanya, Microsoft menawarkan mereka satu daripada enam jenis latihan yang antara lain meliputi latihan teknologi komunikasi maklumat, katanya kepada pemberita selepas sidang kemuncak tahunan Microsoft Memacu Asia Pasifik di sini, Rabu.

Katanya, Microsoft pada masa ini sedang berusaha menyalurkan teknologi dan kemahiran kepada orang di kawasan luar bandar di seluruh negara bagi menghubungkan mereka dengan dunia luar sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka.

Harnick berkata, menerusi teknologi, kemahiran, pengalaman dan generasi muda seharusnya boleh menyedari peluang yang ada dan membayangkan masa hadapan mereka yang cerah.

"Bersama-sama dengan sokongan kerajaan, perniagaan lain dan rakan kongsi badan bukan kerajaan (NGO) Microsoft, generasi muda yang bersemangat ini akan dapat menyedari potensi dan mengubah kehidupan mereka," katanya.

Katanya, hampir empat juta rakyat Malaysia telah menyertai program pendidikan yang ditawarkan Microsoft yang menjadi penyelesai inovatif bagi kedua-dua guru dan pelajar. Beliau berkata, syarikat itu juga bekerjasama dengan lebih 60 NGO di Malaysia bagi membantu generasi muda ke arah mencapai pendidikan tinggi, pekerjaan dan keusahawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain