suria

Laut Bergelora Tidak Halang Peronda APMM Pintas Bot Asing

MIRI: Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa meredah laut bergelora selama lebih 12 jam untuk menunda sebuah kapal nelayan asing yang menceroboh perairan negara sebelum tiba di sini, Rabu.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Daerah Miri, Komander Maritim Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman hari ini berkata kapal nelayan dari Vietnam seberat kira-kira 40 tan itu hanya dapat tiba di Pusat Tahanan Vesel di sini, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata bot nelayan yang membawa seorang tekong dan sembilan awak-awak dikesan oleh kapal peronda APMM, KM rhu, kira-kira 105 batu nautika dari pantai Miri kira-kira pukul 4.30 pagi Selasa.

"Kapal peronda kami mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum dapat memintas kapal nelayan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Turut ditemui di dalam kapal itu adalah hasil tangkapan terdiri daripada beberapa ekor ikan tuna yang keseluruhannya dianggarkan seberat dua tan dipercayai diperoleh di kawasan perairan Malaysia, katanya.

Syed Nor Adli berkata keseluruhan nilai rampasan dalam kes ini adalah kira RM300,000 dan kesemua anak kapal berkenaan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Berikutan kes terbaru ini, APMM Daerah Miri setakat tahun ini berjaya menahan tiga buah kapal nelayan asing yang kesemuanya dari Vietnam.

Beliau berkata rondaan APMM di kawasan perairan di sini akan tetap diteruskan biarpun dalam keadaan laut bergelora sekarang memandangkan bot-bot asing didapati cuba mengambil peluang untuk menceroboh dalam keadaan cuaca begini.

"Kita mendapati trend kegiatan pencerobohan oleh nelayan asing ini tetap berlaku tanpa mengambil kira keadaan cuaca," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain