suria

KR1M Mula Beroperasi Di Pahang

KUANTAN: Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mula beroperasi di Pahang dengan pembukaan premis pertamanya di bangunan Majlis Ugama Islam Pahang, Jalan Bukit Ubi di sini, Rabu.

Premis itu yang merupakan rangkaian KR1M ke-18 di Malaysia menjual barangan pada harga yang mampu dibeli pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata peniaga runcit dan pasar raya terutama di negeri ini tidak harus berasa bimbang kewujudan KR1M itu akan menjejaskan perniagaan mereka.

"Di Malaysia, masyarakat dah bertambah, kita ada 28 juta penduduk, peluang perniagaan ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai itu yang mempunyai 250 produk merangkumi makanan, barangan harian, keperluan dapur, rempah ratus dan sejuk beku.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin.

Adnan berkata KR1M yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mewujudkan persaingan sihat antara peniaga yang akhirnya memberikan keuntungan kepada rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain