suria

Kerajaan Terengganu Rancang 29 Projek Di Tepoh dan Batu Enam

KUALA TERENGGANU: Rancangan Kawasan Khas (RKK) melibatkan Tepoh-Batu Enam bagi tempoh 2008 hingga 2015 mengenal pasti 29 projek utama di kedua-dua kawasan berkenaan, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata 19 projek utama di kawasan Batu Enam manakala 10 projek di Tepoh termasuk naik taraf jalan, pembinaan institusi pendidikan dan pembangunan bercampur.

"Daripada kajian yang dibuat mengenai projek naik taraf jalan, kerajaan memohon supaya jalan itu dilebarkan menjadi empat lorong dari Kampung Durian Burung melalui jambatan Manir dan jambatan Buluh Gading sehinggalah ke bulatan pekan Batu Enam.

"Bagaimanapun bulatan itu akan diganti dengan lampu isyarat atau jejambat termasuk di bandar Kuala Terengganu," katanya semasa menjawab soalan Mohd Ramli Nuh (BN-Tepoh) yang ingin tahu status terkini perancangan RKK Tepoh-Batu Enam.

Beliau berkata projek naik jalan persekutuan dari Tepoh ke Gemuroh yang akan dijadikan empat lorong, akan bersambung dengan persimpangan Lebuh Raya Pantai Tmur di samping menaik taraf persimpangan Tepoh.

Ahmad berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mencadangkan supaya satu sungai baru dan dua kolam takungan air diwujudkan di Paya Tok Jiring bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di situ dan sekitarnya.

Beliau berkata daripada kajian konsultan keseluruhan projek tebatan banjir itu jika dibuat, akan melibatkan kos lebih RM300 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain