suria

Jumlah Penumpang Udara Bertambah

KUALA LUMPUR: Trafik aliran penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat 5.6 peratus kepada 3.056 juta penumpang pada bulan Oktober 2011 daripada 2.894 juta penumpang dalam bulan yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 2.153 juta ialah penumpang antarabangsa dan 902,394 ialah penumpang domestik, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Rabu.

Ia berkata, pergerakan penumpang di lapangan terbang yang lain di bawah pengurusannya menyaksikan kenaikan 6.1 peratus kepada 2.075 juta penumpang dalam bulan Oktober tahun ini daripada 1.955 juta penumpang sebelumnya.

MAHB menjelaskan, pergerakan kargo di KLIA bagaimanapun turun 2.6 peratus kepada 59.079 juta kg daripada 60.633 juta kg sebelumnya.

Untuk lapangan terbang yang lain, pergerakan kargo turun 10.1 peratus kepada 19.736 juta kg daripada 21.960 juta kg sebelumnya, katanya.

Pengendali lapangan terbang itu turut menyatakan bahawa pergerakan pesawat KLIA meningkat 7.4 peratus kepada 22,811 pada Oktober 2011 daripada 21,234 dalam bulan yang sama tahun lepas.

Untuk lapangan terbang yang lain, pergerakan pesawat meningkat 8.5 peratus kepada 30,593 berbanding 28,206 sebelumnya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain