suria

Gangguan Bekalan Air Di Beberapa Kawasan Di Gombak Dan Kuala Lumpur Dijangka Pulih Petang Ini

KUALA LUMPUR: Bekalan air di beberapa kawasan di wilayah Gombak dan Kuala Lumpur yang terjejas akibat paip pecah yang berlaku dari Kolam Air Dusun Kubung malam Selasa dijangka akan pulih selewat-lewatnya petang ini.

Menurut satu kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) malam Selasa, kerja-kerja pembaikan dimulakan pada pukul 3 pagi Rabu.

Kawasan yang telibat ialah kawasan Industri Batu Caves, Jalan Gombak, Pekan Setapak, Jalan Genting Klang, seluruh Hulu Klang dan sebahagian Jalan Ampang, seluruh Pekan Ampang, AU1 hingga AU5 dan Keramat di wilayah Gombak.

Di Kuala Lumpur, kawasan yang terlibat ialah keseluruhan Jalan Semarak, sebahagian kawasan Ampang, keseluruhan kawasan Cheras Batu 2 dan Batu 3 dan keseluruhan kawasan Pandan.

Kejadian berlaku pada pukul 7.30 malam Selasa itu di Jalan Selayang-Kepong berhampiran Hospital Selayang adalah kejadian kali kedua sejak bulan lepas, yang berpunca daripada kerja-kerja pembinaan oleh pihak ketiga.

Paip yang pecah ini membekalkan air kepada kira-kira 150,000 akaun di 104 buah kawasan dalam Wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.

Para pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip berkenaan.

Mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini disaran agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain