suria

Ahli Perniagaan Wanita UAE Berminat Jalin Usaha Sama Pelaburan

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyuarakan minat mereka untuk meneroka peluang-peluang perniagaan di Asia Tenggara.

Presiden Majlis Perniagaan Wanita Dubai yang juga Pengarah Urusan konglomerat korporat, Easa Saleh Al Gurg Group, Raja Easa Al Gurg berkata mereka berminat untuk bekerjasama dengan ahli perniagaan berprofil tinggi di Malaysia dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, fesyen serta sukuk (bon Islam).

"Kami melihat Malaysia mempunyai ramai pemimpin perniagaan wanita yang berjaya dan berwawasan tinggi, dan kami sangat berminat untuk meneroka peluang-peluang besar ini," kata Al dalam satu kenyataan pada Rabu.

Al Gurg adalah antara ahli perniagaan terkemuka UAE yang berada di Malaysia untuk jelajah "Power Ladies UAE-Malaysia Roundtable 2011".

"Kami mahu meningkatkan hubungan komersil ini dengan bantuan ahli perniagaan wanita di sini," katanya.

Kumpulan ahli perniagaan UAE itu bertemu pemimpin wanita dalam dunia korporat Malaysia pada sesi taklimat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi promosi pelaburannya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai peluang pelaburan di Malaysia, di sini Rabu.

Semalam, mereka melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Mohd Hassan di Putrajaya.

Presiden Majlis Perniagaan Wanita Abu Dhabi yang juga Ketua Pegawai Operasi Al Jaber Group, Fatima Al Jaber, berkata pertemuan antara ahli perniagaan wanita UAE dan Malaysia itu merupakan pendekatan yang sangat menarik yang menghimpunkan ahli perniagaan wanita untuk membangunkan usaha sama".

Jelajah anjuran Inside Investor dari 5 hingga 9 Dis itu, bertujuan memberi kefahaman mengenai peluang-peluang perniagaan di Malaysia.

Delegasi UAE terdiri daripada Faiza Al Sayed dari Al Fahim Group; pengasas dan pereka utama Oh, la la! Abbaya Couture Fathiya Saeed Al Khamari, Pengarah WorldSpace Middle East Khawla A Lootah w/o HE Sheikh Khalid M Al Qassami; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Bashayer Investment Company Sara Ismail Mohamed.

Komuniti perniagaan Malaysia pula membabitkan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Dr Wong Lai Sum, CEO SME Corp Malaysia Datuk Hafsah Hashim, dan Pengurus Unit Capital Market Professional di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Shireen Kandiah Fuad.

Bersama lebih 20 pemimpin sektor swasta Malaysia, kumpulan itu terlibat dalam perbincangan langsung mengenai peluang-peluang bersama dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, fesyen, kosmetik, perabot, logistik, kontrak pengeluaran, perkhidmatan teknologi maklumat, pelaburan sukuk.

Pembentangan oleh MIDA mengenai corak pelaburan terkini dan peluang-peluang perniagaan menunjukkan sejak tiga tahun lepas, syarikat-syarikat UAE telah menjalankan lapan projek bernilai US$53.16 juta di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain