suria

Sepasang Warga Asing dan Seorang Warga Tempatan Ditahan Kes Dadah

KUANTAN: Polis menahan sepasang warga asing dan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah berhampiran dengan plaza tol Temerloh, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata mereka ditahan pada kira-kira pukul 1.30 petang semasa berhenti di plaza tol berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta proton yang dinaiki mereka, polis menemui 450 gram dadah jenis heroin dan 6.5 gram jenis syabu pada beg silang yang dipakai oleh lelaki warga tempatan berusia 37 tahun, dan lelaki warga asing yang berusia 37 tahun itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata polis tidak menemui sebarang dadah pada wanita warga asing yang berumur 17 tahun itu, namun saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Katanya harga runcit barang yang dirampas itu dianggar bernilai RM25,600, dan semua suspek kini ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh digantung sampai mati," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain