suria

Peniaga Brickfields Perlu Sabar 3 Bulan Sahaja

KUALA LUMPUR: Para peniaga di kawasan Jalan Tun Sambathan dan Little India di sini, diminta supaya bersabar untuk tempoh tiga bulan bagi proses percubaan laluan dua hala di kawasan tersebut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk keselesaan pengguna di masa hadapan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Bersatu India Kuala Lumpur, Gobal Rajee berkata, proses pelaksanaan itu baru tiga hari dilaksanakan oleh DBKL bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.

"Peniaga harus faham perubahan itu dilakukan untuk keselesaan pengguna walaupun pada mulanya perniagaan akan sedikit terjejas, namun apabila orang awam mula memahami perubahan yang berlaku, pastinya perniagaan mereka akan kembali seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di kawasan itu, Selasa.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan yang turut ditemui pemberita berkata pihaknya akan membawa isu berkenaan ke peringkat kementerian sekiranya perniagaan mereka semakin merudum selepas tempoh percubaan berakhir.

"Kami prihatin dengan masalah dan aduan yang dibuat oleh peniaga di sini akibat perubahan tersebut namun peniaga diharap dapat tunggu sehingga tiga bulan lagi bagi membolehkan tempoh pelaksanaan itu membuahkan hasil.

"Sekiranya hasil perubahan itu menunjukkan impak negatif, maka kami akan usulkan kepada pihak terbabit untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Seorang peniaga tekstil, Gajindernarth, 73, berkata perubahan itu menyebabkan kehadiran pelanggan ke premisnya semakin merosot kerana ruang letak kereta di hadapan premisnya ditutup.

"Saya rasa sekiranya ditukar laluan itu, perlu juga disediakan laluan kereta agar pelanggan mudah sampai ke premis di sini," katanya.

Seorang peniaga peralatan perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Y.K. Cheah, 50, berkata DBKL seharusnya melakukan kajian mendalam sebelum melakukan pelaksanaan laluan kontra tersebut.

"DBKL tidak memberi peluang kepada peniaga untuk turut sama berkongsi pendapat mengenai perubahan laluan itu, malah ia banyak mengakibatkan kemalangan sejak dilaksanakan...ia tidak 'workable'," katanya.

Seorang peniaga kedai emas, Mohd Ali Abd Wahab, 25, pula meminta pihak yang terlibat untuk menukar kembali laluan itu kepada asal kerana ia mengakibatkan perniagaannya terus terjejas.

"Dalam keadaan sekarang ruang tempat letak kereta langsung tiada dan pelanggan saya terpkasa menanggung bayaran letak kereta yang mahal di sekitar sini, malah keadaan ini juga mengundang kemerosotan perniagaan saya kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain