suria

Najib Rasmi LIMA 2011

LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa merasmikan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11), yang menekankan peri mustahaknya pertahanan serta keselamatan kepada kepentingan strategik negara dan serantau.

Pada edisi ke-11 LIMA yang disertai lebih 400 syarikat dari 35 negara, beliau berkata, pertahanan dan keselamatan menjamin bukan sahaja keutuhan wilayah tetapi juga kedaulatan yang amat dihargai oleh semua negara.

Beliau berkata, Asia kini menikmati ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, dan perbelanjaan pertahanan tidak terkecuali.

"Perbelanjaan aeroangkasa dan maritim semakin melonjak, dan bakal meningkat lagi ketika kerajaan terus menangani ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional," kata Najib ketika merasmikan pameran pertahanan dan keselamatan terulung Malaysia di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri dan tokoh pengasas LIMA Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain ketua-ketua pertahanan dan keselamatan dari luar negara.

"Tiada yang boleh meragui keberanian dan kepahlawanan kalangan lelaki serta wanita kita dalam pasukan keselamatan, dan sebelum mereka mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi kita, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka mempunyai peralatan terbaik untuk melaksanakan tugas itu.

"Ini bermakna memberi mereka peralatan terkini, paling selamat, dan paling canggih untuk memenuhi cabaran dalam peperangan moden," kata Najib.

Beliau mengambil maklum bahawa LIMA bukan sahaja tentang teknologi ketenteraan terbaru memandangkan acara itu turut mengetengahkan sektor komersial industri maritim dan aeroangkasa yang mengadakan pameran di sini buat julung kali.

Lebih separuh daripada 100 pembekal maritim dan aeroangkasa terulung di dunia hadir pada acara berkenaan, dan menurut penganjur, 65 pesawat udara dan 14 kapal perang dari seluruh dunia turut dipamerkan.

Najib berkata sektor yang berintensifkan teknologi seperti pembinaan dan pembaikan kapal serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) terus menjadi penyumbang yang ketara kepada ekonomi Malaysia.

Tahun lepas sahaja, industri pembinaan dan pembaikan kapal menjana lebih ASD2.3 bilion (RM7.26 bilion), manakala MRO dan pembuatan aeroangkasa pula menyumbang kira-kira ASD1.73 bilion (RM5.46 bilion).

"Keseluruhannya, sektor ini menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 44,000 orang, kebanyakan mereka adalah kalangan profesional berkemahiran tinggi," katanya.

Perdana Menteri berkata, tahap kemahiran dan gaji di Malaysia semakin meningkat ketika negara ini terus berada di landasan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Bagaimanapun pada masa transformasi ini berlaku, kita perlu bersiap siaga untuk berdepan saingan sengit untuk mendapatkan pelaburan asing sebaik sahaja kita tidak lagi dianggap sebagai tempat yang 'murah' untuk melabur," katanya.

Susulan perasmian LIMA, Najib menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian berkaitan industri aeroangkasa.

Ini termasuk perjanjian khidmat perundingan teknikal antara Airod Sdn Bhd dan Malaysian Aerospace Engineering Sdn Bhd (MAE) berhubung penyediaan khidmat perundingan oleh MAE kepada Airod bagi pembangunan kluster MRO aeroangkasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming yang baru.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut memeterai kerjasama strategik dengan National Aerospace and Defence Industry Sdn Bhd (NADI) untuk membangunkan modal insan Bumiputera yang berdaya saing dalam industri aeroangkasa berteknologi tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain