suria

EMJV Dilantik Rakan Projek River of Life

KUALA LUMPUR: Ekovest-MRCB JV Sdn Bhd (EMJV) telah dilantik sebagai Rakan Pelaksanaan Projek (RPP) oleh kerajaan untuk membantu dalam pelaksanaan dan penyiapan projek River Of Life (ROL).

Pelantikan itu adalah susulan pemeteraian perjanjian dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Putrajaya, Selasa.

Projek ROL melibatkan pemulihan Sungai Kelang dan Sungai Gombak, dan kerja-kerja mencantikkan bahagian sungai sepanjang 10.7 kilometer sebagai permulaan.

"Perkhidmatan RPP EMJV itu adalah bagi tempoh tiga tahun dengan nilai kontrak diunjurkan berjumlah RM2.2 bilion.

"Sebagai RRP, ia akan meraih bayaran maksimum RM22 juta, yang bersamaan dengan satu peratus keseluruhan kerja yang diunjurkan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun," kata EMJV dalam satu kenyataan.

Ia berkata, RRP itu juga akan menikmati insentif kewangan bagi kerja-kerja memulihkan dan mencantikkan sungai itu.

EMJV adalah satu usaha sama antara Ekovest Bhd dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), yang bakal menyaksikan Ekovest melanggani 60 peratus modal terbitan dan berbayar syarikat usaha sama itu, manakala MRCB akan melanggani 40 peratus selebihnya.

Projek River of Life adalah sebuah Projek Permulaan yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Greater Kuala Lumpur di bawah Program Transformasi Kerajaan.

Ia bertujuan mengubah wajah sungai yang mengalir di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu dengan melaksanakan kerja-kerja memulihkan sungai dan mencantikkan tebing sungai serta pembangunan koridor sungai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain