suria

Warga Emas Ditemui Di Lereng Bukit Selepas Hilang Empat Hari

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selama empat hari di Bukit Jong, di sini, ditemui dalam keadaan lesu dan keletihan di lereng bukit itu oleh seorang pencari madu lebah, pagi Ahad.

Mohd Azam Ismail, 31, berkata beliau menemui Senik Mamat, 87, sedang tidur di bawah satu timbunan daun pada kira-kira pukul 10 pagi dalam keadaan yang sangat lemah.

"Dia terlalu lemah dan tidak mampu berjalan, jadi saya memikulnya kira-kira tiga kilometer untuk turun ke kaki bukit," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Anak Senik, Abdullah Senik, 49, berkata keluarganya menyedari kehilangan bapanya yang mempuyai masalah nyanyuk itu pada kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu, dan berusaha mencarinya bersama orang kampung, sebelum beliau mengambil keputusan membuat laporan polis dua hari lepas.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Terengganu, Khairul Anuar Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Senik pada kira-kira 1.35 petang semalam dan terus melancarkan gerakan mencari dengan bantuan orang kampung, polis dan anggota Jabatan pertahanan Awam.

Beliau berkata Senik ditemui kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Lerek, Tepoh, dalam keadaan lemah di samping mengalami luka-luka kecil, dan dia sudah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk rawatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain