suria

UPP Bukit Kayu Hitam Rampas 19,000 Liter Diesel

BUKIT KAYU HITAM: Sebuah lori tangki yang membawa muatan 19,000 liter minyak diesel dipercayai untuk diseludup, ditahan di Jalan Kamunting, dekat susur keluar Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Komander UPP Kedah Abd Latif Abd Rahman berkata pasukan peronda UPP menahan lori berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan untuk ke negara jiran.

"Pasukan peronda kami menahan lori tersebut kerana ia berada dalam keadaan mencurigakan. Kita percaya minyak diesel itu akan dibawa ke negara jiran untuk dijual di sana," katanya kepada pemberita di sini petang semalam.

Beliau berkata pemandu lori yang merupakan rakyat tempatan, berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan berumur 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Pemandu lori tersebut gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen yang boleh meyakinkan tentang muatan minyak tersebut adalah tidak salah di sisi undang-undang, katanya.

Abd Latif berkata nilai pasaran bagi diesel berkenaan ialah kira-kira RM34,200 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961.

"Pemandu lori itu akan kita serahkan kepada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) untuk siasatan lanjut kerana siasatan ke atas pemandu itu bukan dalam bidang kuasa kita.

"Jika diperhatikan pada tangki lori tersebut, kita akan dapat melihat logo salah sebuah syarikat minyak di Malaysia yang telah ditanggalkan pelekatnya. Kita tidak pasti sama ada ia sengaja dibuat begitu atau perkhidmatannya telah tamat tempoh," katanya.

Harga diesel di Thailand dilaporkan dijual pada harga RM2.80 seliter berbanding RM1.90 seliter di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain