suria

Sokongan Pakatan Terhadap Penubuhan RCI Di Sabah Hanya Gimik Politik:Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sokongan Pakatan Pembangkang terhadap seruan pelbagai pihak termasuk parti politik di negeri ini agar kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang tanpa izin dan "projek IC" di Sabah, hanya gimik politik untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata banyak pihak yang sudah memperkatakan isu RCI dan "terpulanglah kepada pihak atasan untuk membuat keputusan".

"Kita tahu parti pembangkang ingin mencari publisiti politik daripada isu ini. Isu ini sudah lama tapi bila beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Timbalan Perdana Menteri...apa yang dia buat?

"Sekarang ini bila sudah jadi pembangkang, macam-macamlah janji," kata Musa kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha di Likas, di sini Isnin.

Semalam, Ketua Umum Pakatan Pembangkang itu dalam persidangan media di sini, berkata pakatan bersetuju bahawa isu pendatang tanpa izin di Sabah hanya boleh diselesaikan dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Anwar juga dipetik sebagai berkata walaupun pakatan tidak menafikan hak mereka yang layak untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, namun isunya ialah penyalahgunaan proses untuk memperolehnya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata taktik seumpama itu adalah perkara biasa menjelang setiap kali pilihan raya umum diadakan, dan berharap penduduk Sabah tidak mudah terpengaruh dengan parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji.

Mengenai permintaan tambahan kerusi Parlimen untuk Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pada pilihan raya akan datang, Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berkata perkara itu akan dibincang bersama di kalangan pemimpin parti komponen BN apabila tiba masanya.

"Siapa dapat kerusi lebih, siapa dapat kerusi atau ada penambahan kerusi, semua akan dibincang dalam perjumpaan kita dengan parti-parti komponen BN.

"Selepas itu, baru kita kemukakan kepada Perdana Menteri selaku pengerusi B Npusat untuk mempersetujui atau mempertimbangkan apa yang telah kita kemukakan kepada beliau," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain