suria

Polis Tahan Tiga Suspek, Rampas Pelbagai Peralatan Dipercayai Digunakan Untuk Samun

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan tiga suspek dan merampas beberapa pucuk pistol, parang, busur silang dan senapang mainan yang disyaki digunakan mereka dalam melakukan samun di dua tempat berasingan sekitar Lembah Klang semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata ia bermula pada kira-kira pukul 11 pagi semasa polis yang membuat rondaan pencegahan jenayah di sekitar Batu Caves menahan sebuah lori seberat tiga tan yang dinaiki dua suspek berumur 33 dan 40 tahun, yang didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik ditahan, kami menjumpai sebuah bungkusan berwarna hitam yang diletakkan di belakang tempat duduk pemandu lori yang antara lain mengandungi dua pucuk pistol yang salah satu daripadanya pistol mainan, 19 butir peluru serta parang yang disyaki digunakan untuk samun.

"Siasatan mendapati suspek bukan pemilik lori itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti tempat dan mangsa samun.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Permatang Pagar di Sungai Buloh pada hari sama dan turut menahan seorang suspek berumur 33 tahun dan merampas peralatan seperti busur silang, pistol angin dan senapang mainan, beberapa jenis dadah seperti ganja, syabu dan erimin 5 serta wang tunai RM15,500.

Thaiveegan berkata ketiga-tiga suspek yang berasal dari Sentul dan Jalan Kuching mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Sentul, Jinjang, Muar, Johor dan Batu Gajah, Melaka.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 8 dan 32 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain