suria

Polis Masih Siasat Kes Anggota PKR Cedera Terjatuh Dari Rumah

SHAH ALAM: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah rumah di Kompleks Perumahan SUK di Seksyen 7 di sini, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata polis masih mencari motif sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan daripada mereka yang menghadiri program bersama mangsa di kompleks itu sebelum kejadian itu berlaku.

"Buat masa ini, kami klasifikasi kes ini sebagai kemalangan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam, Yahya Talib, 49, cedera di pergelangan tangan kanan, kaki kiri dan mukanya dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah rumah di kompleks itu.

Ketua Siasatan Jenayah Shah Alam DSP Kamaruddin Ismail dilaporkan berkata mangsa dijumpai rakan sebiliknya di bahagian bawah balkoni rumah tiga tingkat berkenaan dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar dalam.

Beliau berkata rakan sebilik mangsa kemudian menghantarnya ke hospital sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini. - BERNAMA

Artikel Lain