suria

Mukhriz Cadang Semua Wakil Rakyat Umno Tandatangan Surat Akujanji

KODIANG: Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mencadangkan semua wakil rakyat Umno dan pemimpin parti itu menandatangani surat ikrar bagi menyatakan sokongan dan kesetiaan untuk terus bersama Umno dalam sebarang keadaan.

Katanya cadangan itu susulan ikrar taat setia yang dilafazkan mereka pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 di Kuala Lumpur, Sabtu.

"Dengan cara ini mereka yang didapati melanggar ikrar bertulis akan dikenakan tindakan disiplin.

"Saya harap setiap orang (pemimpin dan wakil rakyat Umno) menandatangani akujanji bagi membuktikan mereka mengutamakan kepentingan parti, menyokong, bekerjasama dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Padang Sera, di sini, Ahad.

Dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno semalam, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai ikrar taat setia perwakilan di hadapan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta.

Ikrar yang dilafazkan itu antaranya untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati, meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi serta memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada calon-calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Mengenai pemilihan calon muda pada pilihan raya umum nanti, Mukhriz berkata aspek penting calon yang hendak diketengahkan diterima rakyat termasuk golongan profesional muda.

Katanya jika ada 'orang lama' yang disenangi golongan muda, aspek berkenaan juga perlu diberi pertimbangan.

"Dalam menonjolkan golongan profesional muda berpendidikan tinggi, mereka harus bersedia dan bersemangat untuk berkhidmat dan pandai bergaul dengan rakyat," kata Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabansga dan Industri. - BERNAMA

Artikel Lain