suria

Lima 2011 Peluang Bagi Syarikat Tempatan Perkenal Produk Ke Pasaran Luar

KUALA LUMPUR: Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 merupakan platform terbaik untuk industri pertahanan tempatan memperkenalkan keupayaan teknologi, produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran serantau dan antarabangsa.

Menegaskan demikian, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat industri pertahanan tempatan yang kukuh dan berkeupayaan tinggi mampu menarik perhatian bakal-bakal pembeli dan pengguna ke LIMA.

"Bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang mungkin tidak mampu menyertai pameran antarabangsa di luar negara yang terlalu mahal, maka LIMA adalah alternatif terbaik buat mereka.

"Saya sangat bangga dengan penglibatan industri pertahanan tempatan di LIMA. Kalau dulu, penglibatan mereka boleh dibilang dengan jari, LIMA kali ini akan memperlihatkan kehadiran pempamer-pempamer tempatan yang besar bersama-sama pemain industri pertahanan global," katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

LIMA dari 6 hingga 10 Dis ini, akan disertai 178 pempamer dari Malaysia dan 220 dari luar negara.

Ahmad Zahid berkata antara syarikat dalam industri pertahanan tempatan yang mengambil bahagian ialah National Aerospace and Defence Industries (NADI), Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Composite Technology Research Malaysia (CTRM), Hitech Padu Berhad, Sapura Secured Technologies, Zetro Aerospace Corporation, Ikramatic, Satang Jaya, dan MAS Engineering.

"85 peratus ruang pameran di Dewan Mahsuri telahpun ditempah oleh para peserta edisi kali ini.

"Kami telah menandatangani penyertaan 386 syarikat, mewakili 33 negara. Kami akan terus berusaha untuk memastikan ruang pameran kami dipenuhi 100 peratus lantas menjadikan LIMA 11 edisi terbaik," katanya. Sementara itu, Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Mejar Marina Harun berkata antara pembuat pesawat dan pembina kapal terkemuka yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah Airbus, Boeing, Dassault, Gulfstream, Embraer, SAAB, Sukhoi, Eurocopter, AgustaWestland, Sikorsky, Helicopter Bell, Fincantieri, Daewoo Shipbuilding, Navantia, DamenShipyard, Blohm dan Voss, Lurssen, Goa Shipyard dan DCNS.

Menurutnya sebanyak 42 pesawat dan 30 buah kapal setakat ini telah mengesahkan kehadiran dan antara acara kemuncak adalah persembahan aerobatik dan statik daripada pesawat-pesawat Gulfstream G45 Business Jet, Bombardier, CessnaCaravan, A400M, Su 30MKM, F/A-18D, F-18 Super Hornet, MiG-29N, Super Lynx, Augusta A109, Mi 17 S & R Helicopter, Eurofighter Typhoon, AH6i Boeing.

Beliau berkata pameran dibuka kepada orang ramai pada 9 dan 10 Dis di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Matsirat untuk pameran udara, manakala pameran maritim di Awana Porto Malai, Kuah.

Artikel Lain