suria

Lapan Kejadian Pokok Tumbang Berlaku Sekitar Bandaraya

KUALA LUMPUR: Lapan kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku dalam kejadian ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan di ibu negara petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian pokok yang menimpa beberapa premis perniagaan dan kenderaan. Beliau berkata kawasan yang terlibat ialah bandaraya, Hartamas, Jinjang, Kepong, Jalan Tun Razak dan Jalan Gombak.

"Kami juga menerima panggilan mengenai siling runtuh di sebuah unit di kondomonium di Bandar Sri Manjalara selain laporan mengenai billboard yang tumbang di Kepong. "Jentera dari unit bomba dan penyelamat yang berdekatan dengan kawasan kejadian dikerahkan bertindak mengalihkan pokok tumbang dan objek yang menghalang untuk memudahkan pergerakan trafik," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Azizan menasihatkan orang ramai menghubungi talian 03-92057204 bagi memaklumkan tentang sebarang kejadian pokok tumbang dan banjir kilat yang kerap berlaku semasa musim hujan sekarang.

Dalam isu berasingan, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning menasihatkan orang ramai yang melalui laluan pejalan kaki di kawasan Little India, Brickfields sentiasa berwaspada untuk mengelak dilanggar bas atau kenderaan lain yang masuk di kawasan tumpuan pelancong itu. Beliau berkata ini ekoran berlakunya tiga kes kemalangan membabitkan pejalan kaki dan kenderaan di kawasan itu yang mengakibatkan kecederaan sebelum ini.

Dalam pada itu, satu kemalangan lagi berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi apabila seorang lelaki dan anaknya yang tidak dinyatakan identitinya dilanggar bas ketika melintas.

Ini mencetuskan kekecohan apabila pemandu bas berkenaan diserang orang ramai.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Loganathan berkata sejurus selepas bas itu melanggar mangsa, beberapa orang ramai menyerang bas itu hingga memaksa kesemua penumpang bas termasuk pemandunya cuba melarikan diri.

Anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu meleraikan mereka, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain