suria

Kilang Lynas Selamat Tapi Dijadikan Isu Politik Sempit:Adnan

KUANTAN: Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata soal kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan kerajaan sebelum lesen praoperasi dikeluarkan kepada syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi membolehkan kilang memproses nadir bumi dibina di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Beliau berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pakar-pakar luar negara telah mengesahkan bahawa pembinaan kilang itu selamat tetapi masih diputar belitkan fakta oleh pihak tertentu yang kononnya kilang berkenaan akan memudaratkan rakyat.

"Pihak tertentu telah mempolitikkan isu pembinaan kilang berkenaan demi politik sempit mereka," katanya ketika membentangkan Bajet 2012 kerajaan Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Adnan berkata kerajaan telah mengeluarkan garis panduan sebelum ini bahawa Lynas Malaysia Sdn Bhd perlu mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan bagi kilang itu.

Katanya kerajaan Barisan Nasional tidak pernah bertindak atau membuat sebarang keputusan yang boleh memudaratkan rakyat.

"Kita "hidup" atas undi rakyat, adakah kita akan membuat sesuatu yang memusnahkan rakyat?" katanya.

Beliau berharap pembangkang tidak terus mempolitikkan isu itu demi kepentingan politik mereka lebih yang berasaskan kepada fitnah dan pembohongan.

Malah, katanya, terdapat "kawan-kawan" kepada pihak yang menentang projek pembinaan kilang itu telah memperoleh kontrak bagi kerja pembinaan kilang itu.

"Mereka (kontraktor terbabit) bukan kawan saya, tapi kawan pihak yang membantah pembinaan kilang itu," katanya.

Adnan berharap Lynas Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan senarai kontraktor yang menerima kontrak dan melakukan kerja pembinaan kilang itu untuk tatapan umum. - BERNAMA

Artikel Lain