suria

Kerajaan Tekad Kekal Rekod Jaga Keamanan, Kestabilan Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tekad untuk meneruskan rekod memelihara keamanan dan kestabilan negara melalui kerjasama antara kaum dalam pelbagai bidang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Beliau berkata kerjasama itu termasuk perkongsian kuasa politik dan kerjasama dalam bidang ekonomi yang menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Menurutnya kerajaan BN juga sentiasa komited untuk terus menjaga kepentingan semua kaum tanpa mengenepikan mana-mana kaum supaya kesejahteraan negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

"Saya percaya kaum Cina adalah kaum yang amat rasional dan mereka sentiasa mahukan sebuah negara yang stabil dan harmoni supaya dapat menjalani kehidupan dan perniagaan dalam suasana yang aman dan bahagia," katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-20 Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) dan upacara mengangkat sumpah anggota jawatankuasa pusat, di sini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap Hua Zong dan badan bukan kerajaan lain dapat bersama-sama kerajaan memberi sumbangan kepada usaha memperkayakan kemajmukan demi membina sebuah masyarakat Malaysia yang lebih maju.

Sebagai kerajaan yang responsif dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat, katanya kerajaan BN sentiasa bersedia mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Buktinya, banyak pandangan daripada masyarakat Cina baik yang berkaitan dengan bidang ekonomi, sosial, kebajikan mahupun pendidikan, diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan, katanya.

"Dengan usaha kerajaan dan rakyat berbilang kaum, negara mencapai satu tahap pembangunan dan kemajuan yang dibanggakan dan dicontohi oleh negara lain.

"Tidak banyak negara berbilang kaum lain di dunia yang berjaya mencapai apa yang dicapai oleh Malaysia dalam hal ini," katanya.

Muhyiddin berkata dengan adanya persefahaman, sikap toleransi, kerjasama dan rasa saling hormat-menghormati antara kaum, Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara berbilang kaum yang makmur dan sejahtera.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan sijil perkhidmatan kepada anggota jawatankuasa Hua Zong yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan persatuan itu. - BERNAMA

Artikel Lain