suria

Jurutera Dari China Bakal Dilantik Pantau Masalah Teknikal Monorel Sungai Melaka

MELAKA: Kerajaan Melaka akan melantik seorang jurutera dari syarikat pembekal Monorel Sungai Melaka bagi memastikan kerosakan monorel itu tidak berulang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, syarikat pengendali monorel tersebut, Melaka Taming Sari sudah diminta melantik secara tetap seorang jurutera dari Unis Technology Co Ltd dari China, bagi menyelenggara semua masalah teknikal yang berkaitan dengan monorel tersebut.

"Selain itu, kita juga akan tempatkan jurutera tempatan untuk bersama memantau dan mempelajari teknik-teknik penyelenggaraan monorel tersebut melalui jurutera yang dilantik," katanya kepada pemberita selepas Perhimpuanan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, Isnin.

Mohd Ali berharap langkah itu turut menyumbang ke arah permindahan teknologi iaitu daripada jurutera syarikat pembekal monorel kepada jurutera tempatan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan arahan kepada Melaka Taming Sari supaya menghentikan perkhidmatan monorel tersebut pada 30 Nov lepas, untuk kali kedua dalam tempoh sebulan ekoran kerosakan teknikal pada sistem pengendalian automatik monorel itu.

Beliau berkata kerja meletakkan cat termoplastik di permukaan landasan bagi mengatasi masalah kegelinciran roda monorel akan dilakukan selepas musim tengkujuh ini iaitu dijangka pada bulan depan.

Katanya sementara ini monorel tersebut tidak akan beroperasi pada waktu hujan seperti yang diarahkan oleh SPAD bagi tujuan keselamatan penumpang.

Sementara itu, satu perjanjian kerjasama dimenterai antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan Suria Energy Advanced Technology Sdn Bhd (SEAT), sebuah syarikat tempatan dalam pengeluaran kenderaan hibrid di negeri ini.

Mohd Ali berkata perjanjian ke arah teknologi hijau yang akan melibatkan Syarikat Honda dari Malaysia dan Jepun itu diharap akan memberi peluang kepada PKNM dan SEAT untuk memasang komponen kenderaan hibrid keluaran Malaysia di negara ini.

"Sekarang ini semua komponen dipasang oleh Honda sendiri dan kita harapkan melalui perjanjian ini, satu peluang yang lebih baik dapat diwujudkan di samping dapat melahirkan ramai usahawan baru," katanya.

PKNM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yusof Jantan manakala SEAT diwakili Presidennya, Zulkifli Kasim. - BERNAMA

Artikel Lain