suria

Jabatan dan Agensi Kerajaan Siap Sedia Jayakan Lima 2011

LANGKAWI: Jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA'11) yang bermula esok telah membuat persediaan rapi dalam menjayakan acara itu.

Antara agensi dan jabatan yang terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Hospital Langkawi, Pejabat Kesihatan Langkawi dan Majlis Perbandaran Langkawi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Yaakob Hassan berkata seramai 220 anggota dan pegawai ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada LIMA'11.

"Empat pusat gerakan diadakan termasuk di Balai Pameran Mahsuri Antarabangsa Langkawi (MIEC) di Padang Matsirat, di Awana Porto Malai dan Kuala Teriang," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata lebih 20 jentera, jet ski dan motosikal dari tanah besar dibawa ke Langkawi untuk membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pengarah Hospital Daerah Langkawi, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata 258 kakitangan termasuk pakar, pembantu perubatan dan jururawat akan bertugas sepanjang LIMA'11.

Katanya sebanyak 11 pasukan liputan perubatan ditubuhkan untuk memberi rawatan kepada orang ramai terutama di MIEC dan Awana Porto Malai.

Beliau berkata pihak hospital sudah bersiap sedia untuk menerima pesakit dan jika perlu mendapat rawatan lanjut mereka akan dihantar ke hospital di tanah besar.

Sementara itu, operasi premis makanan di Langkawi ditingkatkan bagi memastikan makanan yang disediakan bersih dan berkualiti.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail berkata premis itu melibatkan restoran, dapur hotel, kedai, gerai, pembekal dan pengimport bahan basah.

"Kita mahu pengusaha menyediakan makanan yang bersih dan berkualiti serta mengelak kejadian keracunan makanan," katanya.

Beliau berkata seramai 90 kakitangan termasuk 36 petugas tambahan dari enam daerah di Kedah menyertai operasi mulai Jumaat lalu dan beberapa kedai makan telah diarah ditutup kerana tidak mematuhi arahan.

Bagi menjaga kebersihan persekitaran, Majlis Perbandaran Langkawi bersama syarikat pembersihan sisa pepejal, E-Idaman meningkatkan kerja-kerja kebersihan termasuk mengadakkan gotong-royong.

Lima 2011 edisi ke-11 yang berlangsung dari 6 hingga 10 Dis menyaksikan penyertaan lebih 400 syarikat dari 56 negara. - BERNAMA

Artikel Lain