suria

Cuaca Tidak Menentu Cetus Huru-Hara

PETALING JAYA: Perubahan cuaca menjejaskan rutin harian rakyat di negara ini terutamanya apabila hujan lebat melanda sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berdepan sebarang kemungkinan seperti banjir mengejut yang boleh berlaku di kawasan jarang dilanda bencana itu.

Mengulas mengenai cuaca tidak menentu yang berpunca daripada perubahan iklim global itu, beliau berkata, orang ramai perlu bersedia menghadapi kejadian banjir seperti yang berlaku di Kajang dan Selangor pada Jumaat.

Kira-kira 100 pokok dilaporkan tumbang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berikutan angin kencang yang melanda negeri itu.

Hujan lebat itu turut memaksa kebanyakan pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing kerana bimbang untuk meneruskan perjalanan ekoran jarak penglihatan yang kurang jelas.

Douglas berkata, beberapa agensi berkaitan telah diarahkan bersiap-sedia untuk menghadapi bencana alam itu.

"Mereka juga harus memastikan sistem amaran banjir di semua negeri berfungsi dengan baik," katanya.

Sehingga semalam, kira-kira 870 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan amaran banjir di Ledang (Johor), Manjung (Perak), Alor Gajah (Melaka) dan Sri Aman (Sarawak).

Menurut beliau, beberapa kejadian banjir di Thailand yang beransur pulih sejak minggu lalu juga disebabkan oleh perubahan iklim global.

"Kami akan meningkatkan usaha untuk menyuarakan permasalahan ini," kata Douglas yang kini berada di Durban, Afrika Selatan untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Perubahan Iklim.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr. Yap Kok Seng berkata, fenomena La Nina menyumbang kepada kejadian ribut petir di negara ini.

Jabatan itu telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora.

"Ribut petir di Selangor, timur Johor (Kota Tinggi), Pahang, Terengganu, Kelantan, Kuching, Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Sandakan), Selat Melaka dan Layang-Layang dijangka berterusan," katanya.

Artikel Lain