suria

Salang Ingatkan Penduduk Rumah Panjang Sediakan Dana, Kawasan Dan Pelan

PAKAN: Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata penduduk rumah panjang yang bercadang menggantikan rumah panjang yang lama perlu mempunyai dana, pelan dan menyediakan kawasan tapak terlebih dahulu.

Beliau berkata perkara itu adalah penting bagi mengelakkan kelewatan dan masalah lain dan bagi memberi harapan baru, hala tuju dan kejayaan dalam kehidupan mereka.

Ingatan itu diberikannya dalam sesi bertemu orang ramai di Rh.Sandai, di Nanga Menggilas, Ulu Pedanum di sini, petang Sabtu di mana beliau juga menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM367,500 kepada 45 rumah panjang di daerah itu.

Beliau berkata adalah satu kebiasaan bagi penduduk untuk menetap di kawasan yang mempunyai hubungan jalan yang baik daripada tinggal di kawasan pedalaman di mana sungai kekal menjadi satu-satunya jalan penghubung.

"Secara peribadi, ini merupakan satu pilihan yang hebat kerana selain mudah dihubungi, jalan itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk membawa masuk bekalan air dan elektrik selepas ini.

Orang ramai juga boleh menikmati faedah teknologi komunikasi dan maklumat kerana terletak berdekatan dengan bandar atau mana-mana kawasan yang maju, katanya.

Salang berkata dengan adanya pelan ia membolehkan mereka melakukan pengubahsuaian pada masa depan jika keadaan memerlukan dan menyediakan lebih banyak kawasan parkir kenderaan.

Sementara itu, semasa merasmikan majlis makan malam bagi mengumpul sumbangan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bagi cawangan Pakan, beliau berharap badan induk yang berpangkalan di Kuching itu dapat membantu bagi memulihara tradisi dan budaya masyarakat Dayak.

Beliau berkata banyak daripada tradisi dan budaya itu telah dilupakan dan akhirnya pupus berikutan kurangnya usaha galakan di kalangan generasi muda.

Katanya SDNU perlu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat itu dan kerajaan dan berfungsi sebagai sebuah badan mesra kerajaan agar ia dapat membantu menyelesaikan masalah, aspirasi dan harapan yang dihadapi masyarakat itu. - BERNAMA

Artikel Lain