suria

Imigresen N.Sembilan Tahan 36 Warga Asing Kerana Pelbagai Kesalahan

NILAI: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 36 orang warganegara asing termasuk enam wanita dalam satu operasi yang dikenali Ops Ajar, di kawasan kediaman pelajar sebuah kolej swasta, di Mantin dekat sini malam Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Imigresen negeri Abdul Kadir Hussin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga Nigeria, Kenya, Mesir, Indonesia dan Bangladesh yang merupakan pelajar kolej terbabit.

"Kita dapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, pas pelajar tamat tempoh dan tiada pas pelajar," katanya kepada pemberita selepas operasi itu, di Mantin dekat sini Ahad.

Katanya, daripada 36 yang ditahan, lima didapati memiliki pas pelajar palsu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20-an dan 30-an itu kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen, Lenggeng untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 56(1)(c) akta sama kerana memiliki dokumen palsu.

Abdul Kadir berkata operasi yang bermula pukul 11 malam semalam dan berakhir 5 pagi ini membabitkan 60 pegawai Imigresen, 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), empat pegawai Jabatan Pertahanan Awam serta tujuh pegawai Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia.

Katanya kira-kira 500 orang warga asing telah diperiksa dalam operasi tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain