suria

Guna Pistol Mainan Untuk Merompak Kali Keempat Gagal

ALOR SETAR: Cubaan kali keempat seorang lelaki merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam yang sama dengan menggunakan pistol mainan di Jalan Sultanah di sini, gagal malah dia dipukul pekerja kedai tersebut dalam satu kejadian kira-kira pukul 4.40 petang Sabtu.

Perompak tersebut yang merupakan bekas anggota tentera yang lari daripada tugas sebelum itu, telah tiga kali berhasil merompak kedai berkenaan namun percubaan kali keempatnya digagalkan pekerja kedai serbaneka itu.

Menurut pekerja kedai tersebut, Md Mizan Nur Rahman, 37, ketika kejadian rakannya, Md Shairajul Islam, 32, berada di kaunter pembayaran semasa seorang lelaki meluru masuk dan terus mengacukan "pistol."

Perompak itu meminta Shairajul memasukkan wang tunai RM500, rokok, barang kosmetik dan kad tambah nilai telefon bimbit ke dalam beg plastik, sama seperti tiga kes rompakan yang dilakukannya sebelum itu.

"Shairajul bagaimanapun enggan menuruti kehendaknya menyebabkan perompak itu bertindak agresif dan pada masa sama Shairajul mengambil parang dari bawah kaunter untuk menghalang perompak itu.

"Masa tu saya nampak Shaijarul bergelut dengan lelaki itu yang menggigit kedua-dua telinga kawan saya. Saya terus tolong Shairajul melawan dan memberkas perompak itu," kata Md Mizan kepada pemberita di tempat kejadian petang semalam.

Perompak itu yang cedera akibat dipukul di kepala dan Shairajul yang cedera ringan, diberi rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu yang dihubungi Bernama mengesahkan pekerja kedai serbaneka tersebut warga Bangladesh telah menguhubungi polis selepas berjaya memberkas perompak tersebut.

Katanya lelaki tersebut berumur 29 tahun dibawa ke HSB untuk diberi rawatan akibat kecederaan di kepala.

Kes itu disiasat mengikit Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Sabtu ini, kata beliau.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu telah melakukan beberapa siri samun di sekitar bandar raya ini manakala motosikal yang digunakannya dilaporkan hilang di Ampang, Kuala Lumpur pada 2008. - BERNAMA

Artikel Lain