suria

Perwakilan Umno Sumpah Bai'ah Taat Setia

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2011 mencatat sejarah apabila semua perwakilannya bersumpah bai'ah untuk taat dan setia kepada parti.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumpah bai'ah berkenaan dibuat bagi memastikan kelangsungan perjuangan Umno dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

"Dengan semangat kesatuan, kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang, ayuh kita lafazkan ikrar taat setia ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di PWTC, Sabtu.

Ikrar sumpah bai'ah yang diketuai Muhyiddin berbunyi:

"Kami orang Umno, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Kami orang Umno berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.

"Kami orang Umno bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Kami orang Umno berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."

Ikrar beliau itu disambut dan dibaca oleh semua perwakilan di dalam dewan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain