suria

Perhimpunan Agung Umno: Tiga Sebab Kenapa Nik Aziz Perlu Berundur

KUALA LUMPUR: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus digesa meletakkan jawatan berikutan kegagalannya mentadbir negeri itu sehingga menyebabkan peningkatan gejala sosial, masalah air bersih serta peningkatan kadar jenayah.

Perwakilan Kelantan, Mohd Afandi Yusoff turut menyifatkan Menteri Besar Kelantan itu sudah tidak berupaya mentadbir negeri berkenaan kerana faktor usia yang sudah lanjut.

"Undurlah segera. Bagi mandat (tadbir Kelantan) kepada Barisan Nasional (BN). Dulu suruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi) berhenti...mereka dah berhenti pun.

"Suruh orang lain berhenti tetapi kenapa beliau tidak pula berundur, usia sudah lanjut, orang lain juga mahu memegang jawatan itu," katanya ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung Umno di PWTC, Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Afandi yang juga Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang menegaskan, kegagalan Nik Abdul Aziz mentadbir Kelantan lebih ketara apabila negeri berkenaan mencatat kes pengidap HIV tertinggi selama tiga tahun berturut-turut.

"Kalau bab kes HIV, Kelantan adalah juara segala juara. Sudah tiga tahun mereka jadi juara catat kes paling tinggi.

"Inilah cara PAS tadbir Kelantan. Kita perlukan kepimpinan baru yang lebih baik," katanya.

Mohd Afandi turut membidas kerajaan PAS Kelantan pimpinan Nik Abdul Aziz kerana kegagalannya menguruskan air bersih kepada rakyat negeri itu.

"Nak wujud negara berkebajikan konon. Kebajikan rakyat Kelantan pun terabai. Sehingga sekarang mereka masih terima air berkarat.

"Sekarang janjikan pula nak selesaikan masalah air pada 2027...tapi sudah 21 tahun mereka tadbir Kelantan, tak cukup lagi masa yang mereka perlukan?," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain