suria

Perhimpunan Agung Umno: Misi Wanita Untuk Pastikan BN Menang Besar - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno berikrar menjadikan semua 222 kawasan parlimen sebagai kubu kuat jentera Wanita Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jentera sayap itu akan berganding bahu dengan semua pergerakan Umno dan parti komponen peringkat cawangan dan bahagian bagi memastikan matlamat itu tercapai.

Tugas dan amanah yang diberi oleh parti akan Wanita Umno laksanakan dengan penuh komitmen bagi memastikan BN mencatat kemenangan hebat pada pilihan raya umum akan datang ini, kata Shahrizat semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini, Sabtu. "Wanita tidak rasa gentar, walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan parti tetap kami teruskan," katanya.

Shahrizat juga mengulangi ikrar Wanita Umno untuk terus taat setia kepada parti dan pucuk kepimpinannya.

"Kepada (isteri Perdana Menteri) Datin Seri Rosmah Mansor, Wanita ingin merekodkan ucapan terima kasih dan tahniah atas ketabahan dan kesabaran membantu dalam perjuangan pembangunan wanita dan keluarga di bumi yang bertuah mahupun di peringkat global, selain daripada menjaga 'big bos' kami dengan begitu baik sekali," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain