suria

Perhimpunan Agung Umno: Kemenangan Selesa Bantu Lahir Pemerintah Kuat

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mengingatkan ahli parti itu bahawa hanya kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) berupaya melahirkan kerajaan yang memerintah dengan kuat.

"Maka dengan itu penting bagi kita untuk menang dengan kadar selesa pada PRU ke-13 bagi menentukan kedaulatan agama Islam dan survival orang Melayu di negara ini terbela.

"Kita sedar bahawa kemenangan itu akan melahirkan pemerintahan yang kuat dan memungkinkan dasar pembelaan agama, bangsa dan negara," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Sabtu.

Menurutnya, beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) berupaya mengekalkan pemerintahan selepas meneliti sokongan rakyat terhadap parti itu masih kukuh.

"Kita boleh memerintah...kita boleh menang dalam PRU kerana Umno adalah tulang belakang kepada kerajaan yang tidak akan sekadar menabur janji kosong tetapi melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pelbagai projek yang dijanjikan terutamanya di kawasan luar bandar dilaksanakan menerusi peruntukan sedia ada.

"Di Sarawak kos pembinaan jalan raya bernilai RM200 juta tetapi dengan konsep Blue Ocean kita guna RM60 juta saja. Itu antara pendekatan yang kita laksanakan.

"Kita juga bina 50,000 unit rumah untuk rakyat miskin tegar di negara ini. Kita harus ingat tiada kerajaan di dunia yang beri peruntukan percuma kepada rakyatnya, hanya di Malaysia saja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain