suria

Perhimpunan Agung Umno: Gandingan Jentera Parti & Calon Yang Akan Bawa Kemenangan - KJ

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Umno dan Barisan Nasional (BN) akan ditentukan oleh jentera parti bekerjasama erat dengan calon boleh menang dan seterusnya mewujudkan parti yang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, faktor calon boleh menang semata-mata belum tentu menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan daripada jentera pilihan raya parti di kawasan masing-masing.

"Peringatan kepada kita semua, calon boleh menang itu seorang sahaja bagi setiap kawasan, setiap kerusi... kalau nak harapkan calon boleh menang bawa diri sendiri, bawa badan dia sahaja, dia tidak boleh menang.

"Kalau sekiranya calon boleh menang itu hanya atas kertas, seorang diri hebat, (dia) tidak akan menang kalau tidak mendapat sokongan jentera-jentera Umno, orang Umno yang tidak bernama, yang tidak ada jawatan, yang bertungkus lumus kempen siang malam membantu beliau, dia akan jadi calon kalah," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Sabtu.

Beliau berkata, Umno kini telah mempunyai formula 'winning Prime Minister' (Perdana Menteri yang menang) dan 'winning candidate' (calon yang menang) serta perlu diperkasakan dengan tekad dan perpaduan ampuh anggota Umno di setiap peringkat untuk mewujudkan 'winning party' parti yang menang.

"Kalau kita hanya agungkan calon boleh menang tidak cukup, kita kena agungkan jentera, winnable party (parti boleh menang) untuk menang pilihan raya," katanya.

Menurut beliau, Pemuda yang diiktiraf sebagai 'hulubalang' parti berikrar akan menyokong pucuk pimpinan tertinggi dan bersedia berjuang menghadapi pilihan raya, apabila semboyan dibunyikan.

Khairy berkata, program transformasi yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menarik minat generasi muda terhadap kerajaan B Nterutama dalam menyelesaikan kebimbangan golongan itu.

Beliau menambah, program transformasi telah mengurangkan kerisauan generasi muda berhubung masa depan mereka terutama dalam isu peluang pekerjaan, keusahawanan serta pemerolehan kediaman.

"Kalau kita cakap soal perumahan, anak muda nak cari rumah pertama, kita tengok bagaimana Presiden (Najib) memperkenalkan Perumahan Rakyat 1Malaysia, skim rumah pertamaku, anak muda kini senang beli rumah dapat nikmat daripada Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata, daripada segi keterbukaan dan kebebasan kerajaan juga, golongan berkepentingan mula memberi maklum balas positif terhadap usaha kerajaan memansuhkan beberapa akta yang membawa sinar harapan baru terhadap demokrasi negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain