KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tujuh ramuan perjuangan yang perlu diamalkan setiap anggota Umno untuk memastikan kemenangan parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.Tujuh ramuan berkenaan adalah bersatu, setia, berkhidmat, berkorban, berusaha, redha dan bertawakal, katanya. "Saya rasa tidak ada ramuan ajaib untuk memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecuali tumpuan kita dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang."Kita kena bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan parti, maka InsyaAllah parti kita akan memperoleh kejayaan," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini, hari ini.Timbalan Perdana Menteri berkata ramuan paling penting bagi memastikan kemenangan itu ialah bersatu, selaras dengan slogan Umno."Untuk kemenangan parti, perpaduan adalah penting seperti yang saya telah sebutkan pada persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri lepas. Pentingnya kita mempunyai kesatuan hati (wahdtul qalb), pentingnya kesatuan fikiran (wahdatul fikr) dan tentukan kesatuan daripada segi matlamat (wahdatul hadf) dan segalanya diterjemah dalam kesatuan amal (wahdatul amal)," katanya.Beliau juga mengingatkan anggota parti supaya tidak menimbukan masalah baru termasuk mengamalkan sikap tikam belakang, cah keting dan peteh.Timbalan Perdana Menteri berkata ramuan kedua ialah anggota Umno perlu taat dan setia kepada parti tanpa berbelah-bahagi serta tidak mengambil tindakan yang mencerminkan sifat tidak taat."Jangan membuat sesuatu yang melanggar tatasusila parti dan merosakkan parti di saat penting dan mencabar ini," katanya.Ramuan ketiga, kata beliau anggota Umno perlu berkhidmat dengan sepenuh hati kepada parti dan rakyat dan tidak berkira ketika melakukan sesuatu tugas."Kita berada dalam saat genting. Kita perlu lipatgandakan usaha kita seperti Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita kata 'business is not as usual' (keadaan tidak seperti biasa). Jangan ambil pendekatan yang sama tanpa ambil kira perubahan masa dan suasana," katanya.Untuk ramuan keempat pula, Muhyiddin berkata, setiap anggota Umno perlu rela berkorban demi parti tanpa mengira masa, tenaga dan fikiran untuk menang dalam pilihan raya.Anggota Umno juga perlu berkorban jiwa dan raga tanpa mengharapkan ganjaran, katanya.Bagi ramuan kelima, Muhyiddin berkata semua pihak dalam parti mestilah berusaha bersungguh-sungguh demi kemenangan parti dalam pilihan raya kerana usaha adalah tangga kejayaan."Semua orang Umno mesti jadi 'good team player'(pemain berpasukan yang baik) seperti juga pasukan bola sepak. Yang bagus jadi penyerang dia kenalah jadi penyerang, yang bagus jadi penjaga gol perlulah jadi penjaga gol tapi jangan pula yang bagus jadi penjaga gol dia hendak jadi penyerang atau sebaliknya dan yang paling penting jangan sumbat gol sendiri," katanya.