suria

Umno Hadapi Fasa Mencabar - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang merupakan fasa mencabar kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Umno itu berkata, parti berkenaan sedar bahawa perubahan politik berlaku setiap masa namun yakin parti tunjang komponen BN itu mampu mengharungi cabarannya.

"Semua pilihan raya adalah proses untuk mendapatkan mandat. Cuma keadaan yang berbeza dalam sejarah 54 tahun ini.

"Ada zaman yang dikatakan mudah...ada zaman yang dikatakan mencabar. Mungkin kita boleh katakan sekarang zaman mencabar," katanya pada sidang media selepas Ucapan Dasar Presiden Umno di PWTC di sini, Khamis.

Bagaimanapun Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno akan berjaya dihadapi cabaran hari ini sekiranya mendapat kerjasama dan sokongan ahli parti dan penyokong BN secara menyeluruh.

"Saya tak kata terlalu susah tapi kita perlu sedar tentang perubahan itu dan kita harus hadapi dengan tabah.

"Sebab itu kita pentingkan kerjasama, perpaduan, sumbangan ahli parti dan semangat perjuangan yang lebih," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin turut menegaskan keperluan untuk mengadakan perubahan dalam parti terutama dari segi pendekatan untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

"Kita sedar bahawa keadaan sudah berubah, kita juga faham tentang tuntutan baru dan kita juga sedar tentang adanya perubahan dalam corak pemikiran.

"Kesedaran ini penting supaya kita dapat tentukan bagaimana kaedah nak menangani masalah negara serta bagaimana nak memenuhi tuntutan rakyat," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain