suria

"Ucapan Saya Tidak Berunsur Perkauman" - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis menegaskan bahawa ucapan beliau semasa merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Selasa, tidak harus dilihat sebagai berunsurkan perkauman.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, ucapan beliau itu sebenarnya lebih menekankan kepada anggota Umno untuk memperkukuhkan parti, memberi kesedaran baru kepada orang Melayu dan mengingatkan mereka supaya terus bekerjasama dengan kaum-kaum lain di negara ini.

"Saya menyuarakan hal yang serupa, bukannya luar biasa. Cuma orang yang bersikap terlalu perkauman sahaja pemikirannya (ke arah) itu sepanjang masa. Bila sesuatu pihak bercakap tentang soal kaum, dia kata itu rasis," katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, dakwaan kononnya ucapan beliau bersifat perkauman datangnya daripada pihak-pihak yang tidak memahami maksud perkauman. Beliau menjelaskan bahawa Umno tidak pernah bersikap perkauman sebaliknya sejarah telah membuktikan bahawa parti itu sanggup berkongsi kuasa meskipun berupaya membina kerajaan sendiri.

"Umno bersedia berkongsi kuasa, Umno perjuangkan nasib bukan untuk satu kaum walaupun dari sejarah dulu, kita boleh dalam satu peringkat menubuhkan kerajaan Umno sendiri contohnya pada pilihan raya pertama.

"Tapi, kita tak buat begitu, kita berkongsi kuasa. Dalam fasa-fasa pilihan raya selepas itu, ada satu ketika di mana Umno menang lebih daripada 51 peratus kerusi dalam Parlimen tapi kita berkongsi kuasa," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kecaman dan tohmahan pihak pembangkang terhadap Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau berkata sudah menjadi lumrah kepada pihak pembangkang untuk bersikap demikian.

"Saya tidak harapkan pembangkang untuk memuji kita. Kita buat apapun, dia tak pernah puji, yang betul pun tak pernah puji, jadi bagi kita itu biasalah.

"Kami sebagai ahli parti dan pejuang dalam Umno, tak kira dalam keadaan mana sekalipun, sama ada yang datang dari pembangkang ke atau media sosial yang tak menyokong kerajaan...kita tahu dan kita terima sajalah," kata Muhyiddin.

Mengenai pilihan raya umum, Muhyiddin berkata Umno sedar bahawa ia merupakan satu cabaran pada parti itu.

"Dalam semua pilihan raya, persoalannya selalu berkisar mengenai mendapatkan sokongan dan mandat, cuma keadaannya berbeza. Dalam sejarah 54 tahun, ada zaman yang dikatakan mudah dan ada zaman yang agak mencabar.

"Jadi mungkin kita boleh kata zaman sekarang zaman mencabar. Saya tidak kata terlalu susah tapi kita perlu sedar tentang perubahan itu dan kita harus hadapi dengan tabah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata semangat yang dilihat pada anggota Umno dan juga parti-parti komponen adalah mereka sedar bahawa keadaan sudah berubah dan juga faham akan tuntutan-tuntutan rakyat.

"Bersama-sama dengan pemimpin parti komponen yang lain, kita harap kita boleh mempertahankan kedudukan kita walaupun kita tahu keadaan begitu mencabar dan sebab itu pimpinan parti menunggu supaya adanya kesatuan, perpaduan dan kerjasama yang erat sesama kita," katanya.

Mengenai pujian Najib kepadanya semasa ucapan dasar itu, Muhyiddin berkata penghargaan itu merupakan satu pengiktirafan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya adalah timbalan presiden yang sentiasa setia, saya menganggap beliau pemimpin nombor satu dan saya membantu beliau dalam segala urusan parti mahupun kerajaan.

"Sebenarnya hubungan kami cukup baik, saya bekerja rapat dengan beliau setiap hari. Saya menerima pandangan beliau yang penting, yang perlu saya laksanakan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain