suria

Polis Kedah Edar DVD Kepada Pengusaha Feri

ALOR SETAR: Polis Kontinjen Kedah mengedarkan DVD cara mencegah jenayah kepada pengusaha-pengusaha feri ke Langkawi untuk ditayangkan kepada penumpang bagi membantu mereka mengelak daripada menjadi mangsa penjenayah ketika berada di pulau pelancongan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata pengedaran DVD berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan sepanjang 'Kempen Pencegahan Jenayah Musim Percutian Ke Langkawi' yang dilancarkan serentak hari ini di jeti feri Kuala Kedah dekat sini dan jeti Langkawi.

Beliau berkata, selain itu bilangan anggota dan pegawai bertugas di jeti-jeti berkenaan juga ditambah sepanjang musim percutian ini bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan polis.

"Tujuan kita lancarkan kempen ini adalah kerana perlu ada mekanisme untuk cegah jenayah di samping rondaan biasa dan dengan adanya program ini kita harap apabila pelancong masuk ke Langkawi mereka sudah bersiap sedia menjaga diri.

"Walaupun kadar jenayah di Kedah terkawal, namun program seumpama ini perlu berterusan dan kita harap pengusaha feri akan tayangkan DVD sepanjang 17 minit ini supaya penumpang feri dapat mengambil langkah mengelak perlakuan jenayah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di jeti feri Kuala Kedah, dekat sini.

Ahmad berkata, kempen berkenaan merupakan usahasama antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, IPD Langkawi, Pengusaha-pengusaha feri dan Jabatan Laut.

Katanya, sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2011) ini pula kira-kira 600 anggota dan pegawai ditugaskan sepanjang penganjurannya bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

"Anggota dan pegawai kita akan berada lebih awal di sana walaupun LIMA hanya akan bermula 6 Disember dan mereka akan keluar lebih lewat iaitu selepas pameran itu tamat pada 10 Disember," katanya.

Beliau berkata, jumlah anggota statik beruniform dan tidak beruniform juga akan ditambah bagi meningkatkan kawalan dan rondaan di pulau berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain