suria

Mahkamah Rayuan Ketepikan Hak Penjagaan Sebenar Yang Diberi Kepada Shamala

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada bekas kerani bank, S.Shamala, 'hak penjagaan sebenar' dua anaknya yang dibawa menganut agama Islam oleh suami beliau yang merupakan seorang muallaf.

Datuk Zainun Ali, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah terhalang untuk membenarkan rayuan Dr Muhammad Ridzwan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat tujuh tahun lepas kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Shamala mesti mengetepikan tindakan penghinaan terhadapnya sebelum beliau mempunyai hak untuk didengari oleh mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Muralee Menon, yang mewakili Dr Muhammad Ridzwan memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa Dr Muhammad Ridzwan tidak dapat melaksanakan perintah Mahkamah Syariah yang diperolehnya bagi hak penjagaan Saktiswaran, 10, dan Theiviswaran, 9.

Ini kerana Shamala telah pun meninggalkan negara ini menerusi Padang Besar pada 2004. Mereka kini dipercayai berada di Australia.

Muralee berkata, susulan keputusan hari ini, pertikaian perundangan antara pasangan itu telah pun sampai ke penghujungnya melainkan Shamala kembali ke Malaysia dan membuka semula kes itu.

Pada 6 Mei 2004, Dr Muhammad Ridzwan, 43, diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Shamala selepas beliau meninggalkan negara ini dengan anak-anaknya. Dr Muhammad Ridzwan, sebelum ini dikenali sebagai Dr Jeyaganesh C. Mogarajah memohon untuk memulakan prosiding komital terhadap Shamala kerana melanggari perintah mahkamah pada 17 April 2004 yang mengarahkannya (Shamala) untuk membenarkan beliau menemui anak-anaknya.

Pada 12 November tahun lepas, Mahkamah Persekutuan enggan menjawab persoalan melibatkan perlembagaan dalam pertikaian pasangan itu atas alasan Sharmala mengelak prosiding penghinaan yang dikenakan terhadapnya oleh suaminya.

Pada 20 Julai 2004, Mahkamah Tinggi membenarkan kepada Sharmala 'hak penjagaan sebenar' anak-anaknya, namun memerintahkan beliau supaya berkongsi 'hak penjagaan sah' bersama suaminya.

Dr Muhammad Ridzwan juga diberikan hak untuk mengunjungi anak-anaknya.

Hak penjagaan sebenar bermaksud kanak-kanak itu akan berada dalam jagaan Sharmala dari hari ke hari dan kawalan serta hak penjagaan sah pula bermakna beliau dan Dr Muhammad Ridzwan perlu berbincang serta bersetuju terhadap isu melibatkan pendidikan, kesihatan dan rawatan perubatan anak-anak mereka.

Mahkamah Tinggi turut mengenakan kaveat terhadap ibu berusia 39 tahun itu yang menghalangnya daripada mengajar anak-anaknya dengan amalan agama Hindu dan menyuruh mereka makan daging babi.

Panel hakim berkenaan, yang turut dianggotai Hakim-Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Anantham Kasinater mendengar empat rayuan Dr Ridzwan hari ini.

Shamala tidak diwakili kerana pada 1 November tahun ini, dia menamatkan khidmat peguam yang mewakilinya.

Hari ini, panel itu turut menolak satu lagi rayuan Dr Muhammad Ridzwan berhubung bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguamnya di Mahkamah Tinggi berhubung bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar permohonan Shamala bagi hak penjagaan.

Sementara itu, dua lagi rayuan ditarik balik.

Rayuan itu mengenai Dr Muhammad Ridzwan yang dikenakan tindakan penghinaan kerana melanggari perintah hak penjagaan sementara yang diberikan kepada Shamala oleh Mahkamah Tinggi dan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Shamala untuk mengisytiharkan bahawa waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Syariah kerana tidak menghadiri prosiding mahkamah berhubung hak penjagaan yang difailkan oleh Dr Muhammad Ridzwan, tidak mengikat beliau memandangkan beliau bukan beragama Islam.

Shamala dan Dr Muhammad Ridzwan berkahwin mengikut undang-undang sivil pada 1998.

Pada November 2002, Muhammad Ridzwan memeluk agama Islam dan membawa anak-anak lelakinya yang ketika itu berusia tiga dan dua tahun menganut agama yang sama tanpa pengetahuan atau persetujuan Shamala.

Shamala kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi manakala Dr Muhammad Ridzwan pula ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan remedi perundangan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain