suria

Dewan Rakyat Lulus 2 Lagi Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat telah meluluskan dua rang undang-undang berkaitan pembangunan perumahan bertujuan menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

Dua rang undang-undang itu adalah Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)(Pindaan) 2011 yang dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Najib, ketika membentangkan rang undang-undang PR1MA berkata, terdapat 81 fasal yang dibahagikan kepada 10 bahagian bertujuan membolehkan masalah tekanan kewangan yang dihadapi golongan rakyat berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar dan pinggir bandar ditangani dengan segera.

Rang undang-undang itu dikenali sebagai Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) selepas ia diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, berkata tidak akan berlaku pertindihan malah kewujudan PR1MA akan melengkapkan fungsi dan peranan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Mohamed Nazri berkata, SPNB memberikan fokus kepada pembangunan perumahan sederhana rendah manakala PR1MA pula menumpukan pada pembinaan rumah mampu milik dan berkualiti untuk golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar.

"Fokus seperti ini tidak wujud dalam kerangka SPNB. Oleh itu, PR1MA tidak akan bersaing dengan SPNB malah akan melengkapi senario perumahan negara," katanya.

Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)(Pindaan) 2011 bertujuan supaya pemantauan dan pengawalan terhadap pemajuan perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memantapkan lagi tindakan penguatkuasaan bagi mengurangkan masalah projek perumahan terbengkalai.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Chor berkata ia memperuntukkan supaya tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pemaju perumahan berlesen yang meninggalkan pemajuan perumahan, dan jika disabit kesalahan boleh didenda antara RM250,000 dan RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang dikuatkuasakan di semenanjung pada 29 Ogos 1969, telah melalui lima pindaan dengan yang terakhir pada 12 April 2007.

"Keperluan pindaan akta ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang telah dinyatakan Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 pada 10 Jun 2010 agar undang-undang berkaitan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan," katanya.

Dalam pada itu, turut diluluskan ialah Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2011 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2010 (Pindaan) 2011.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain