suria

Rang Undang-Undang PR1MA Untuk Bantu Golongan Berpendapatan Sederhana - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) penting bagi menangani dengan segera masalah tekanan kewangan yang dihadapi oleh golongan rakyat berpendapatan sederhana yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Perdana Menteri berkata, rang undang-undang itu diperkenalkan untuk mengawal selia perkara-perkara yang berhubung dengan pembangunan dan pembinaan perumahan, infrastruktur dan kemudahan di bawah program Perumahan PR1MA dan membolehkan penubuhan satu badan berkanun yang diasingkan iaitu PR1MA Corporation Malaysia.

Beliau berkata penubuhan PR1MA Malaysia sebagai satu institusi yang mempunyai fokus khusus dan mampu mengambil tindakan-tindakan strategik bagi menangani isu tekanan kewangan golongan berpendapatan sederhana serta dapat memastikan isu-isu itu ditangani secara efisyen dan efektif.

"Melalui inisiatif ini satu model pembangunan perumahan sosiekonomi yang strategik di peringkat nasional dapat diwujudkan yang mengintegrasikan pembangunan kompleks kediaman berkualiti mampu milik serta kemudahan bagi masyarakat setempat, pengwujudan institusi kemasyarakatan dan penjagaan aspek ekonomi golongan berpendapatan sederhana kawasan bandar dan pinggir bandar, ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mampan serta meringankan kos sara hidup," katanya.

Najib ketika membentangkan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia 2011 di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, rang undang-undang itu terdiri daripada 81 fasal yang dibahagikan kepada 10 bahagian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain