suria

Perjuangan Pemuda Umno Masa Kini Adalah Penyelesai Masalah Rakyat Bukan Lagi Kumpulan Pendesak - KJ

KUALA LUMPUR: Perjuangan Pergerakan Pemuda Umno pada masa ini adalah berteraskan khidmat bakti iaitu perjuangan menyelesaikan masalah rakyat dan bukan lagi berteraskan perjuangan bercorak 'kumpulan pendesak'.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perjuangan bercorak 'kumpulan pendesak' hanya bercakap dan meluahkan pendapat sementara khidmat bakti akan mendatangkan hasil nyata yang membawa kebaikan untuk rakyat khususnya golongan muda.

"Kita boleh desak minta macam-macam tetapi mendesak adalah kerja mudah, bersifat murahan, kami tidak mahu jadi kumpulan yang hanya mengeluarkan kenyataan akhbar.

"Apa yang penting ialah menyelesaikan isu rakyat dengan menganjurkan program-program," katanya sambil menegaskan pendekatan sebagai kumpulan pendesak hanya sesuai pada era 60-an.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Kepada soalan bahawa pergerakan itu sekarang 'bukan kehilangan taring tetapi menyimpan kuku', Khairy berkata: "Mana ada Pemuda simpan kuku atau hilang taring, taring masih ada, kuku masih ada tetapi kita selesaikan masalah rakyat dulu."

Sementara itu, beliau berkata pergerakan itu sedang meneliti senarai calon boleh menang daripada kalangan anggotanya dengan kriteria pemilihan berdasarkan khidmat mereka dalam pergerakan, laporan di bahagian itu sendiri serta penyelidikannya sendiri.

Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan beliau akan beri pertimbangan sewajarnya kepada senarai calon Pemuda, kata Khairy.

"Jumlah yang saya minta adalah satu jumlah yang munasabah. Penentuan dan pertimbangan calon mesti berdasarkan merit. Harap Pemuda Umno dinilai berdasarkan sumbangan dan khidmat kita pada rakyat dan parti," katanya lagi.

Mengenai Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dikaitkan dengan kontroversi dakwaan pembaziran wang oleh Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) melibatkan anggota keluarganya, Khairy berkata Shahrizat merupakan pemimpin Wanita Umno yang berkaliber dan seorang menteri yang menjalankan tugasnya dengan baik.

"Banyak orang berdepan waktu sukar dalam kerjaya mereka, kita perlu membenarkan beliau memberikan penjelasan lanjut...kita perlu beri sokongan padu kepadanya kerana beliau boleh berkhidmat kepada rakyat dan parti dengan amat baik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain