suria

Peranan Wanita Yang Terhad Dalam Politik Perlu Diperbetulkan - Ketua Wanita Parit

KUALA LUMPUR: Peranan wanita yang sangat terhad dalam politik perlu diperbetulkan sekiranya Umno mahu menjayakan transformasi politik, kata Ketua Wanita Umno Bahagian Parit, Asmah Laily Abd Rahman.

Beliau berkata, transformasi politik yang mengangkat peranan wanita secara lebih berkesan perlu disegerakan.

"Walaupun negara ini memberi layanan sama rata terhadap kaum wanita tetapi persepsinya ialah golongan wanita masih lagi dianggap sebagai kelas kedua," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita Umno di PWTC, Rabu.

Asmah berkata, pada pandangannya, wanita tidak berdiri sama tinggi dan tidak duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

Peranan wanita amat terhad dalam politik malah dikatakan tidak mempunyai 'political savvy'.

"Ini kerana wanita tidak boleh keluar sesuka hati dan tidak boleh berbual di kedai kopi. Ia adalah faktor yang dijadikan ukuran.

"Jika persepsi ini tidak berubah, tidak mungkin transformasi politik dapat dicapai dengan jayanya," kata beliau lagi.

Beliau mencadangkan agar kepimpinan politik khususnya Umno dan masyarakat meletakkan wanita berdasarkan keupayaan, kebolehan dan sumbangan mereka yang harus diberikan peluang sama rata.

"Mengabaikan sumber wanita merupakan satu kerugian besar kepada negara, satu pembaziran.

"Wanita mesti dianggap sebagai rakan kongsi sebenar dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Ini semua dapat membantu Umno memantapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tambahnya lagi, beliau tidak kisah siapa yang bakal ditonjolkan sebagai calon dalam Wanita Umno.

"Namun sekiranya terdapat (calon) wanita yang layak, mereka harus diberi peluang," kata Asmah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain