suria

"Jika Berani Ketua Wanita PKR Desaklah Presiden PKR Letak Jawatan " - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jali mencabar Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendesak presiden mereka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya meletakkan jawatan.

Shahrizat berkata, Ketua Wanita PKR itu sebelum ini mencabarnya supaya meletakkan jawatan berhubung kontroversi projek lembu fidlot di mana suami beliau merupakan Pengerusi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

"Oh.. awak (Zuraida) nak suruh saya letak jawatan? Kerana apa? Kerana suami saya menjadi Pengerusi NFC.

"Hanya kerana saya tidak ada kena-mengena, saya menjalankan tugas saya (dan) suami saya menjalankan tugas dia, (Zuraida) hendak saya letak jawatan?

"Kalau itu dasar dan prinsip dia, saya hendak dia menggesa ketua wanita PKR supaya hari ini juga mendesak presiden PKR untuk meletakkan jawatan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno di sini, Rabu.

Zuraida dalam ucapan dasarnya di Kongres Nasional Wanita PKR Kelapan baru-baru ini meminta Shahrizat meletakkan jawatan untuk menjaga maruahnya sebagai seorang wanita.

Shahrizat mempersoalkan desakan Zuraida supaya beliau letak jawatan kerana suami beliau yang tidak bersalah.

"Suruh dia desak Wan Azizah letak jawatan kerana suami beliau, ketua umum yang telah dihukum dan disabit (kesalahan) oleh pelbagai angkara yang saya tak sanggup cakap dengan mulut saya.

"Barulah dia (Zuraida) itu 'jaguh', betul tak? Saya belum pun tiup semboyan lagi," kata Shahrizat.

Beliau berkata, Wanita Umno dengan 1.3 juta ahli akan terus membantu presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta parti untuk membawa kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Shahrizat dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, isu NFC yang dikaitkan dengan keluarganya merupakan satu agenda politik pihak pembangkang.

Isu NFC timbul selepas laporan Ketua Audit Negara 2010 menarik perhatian umum apabila laporan itu mendakwa projek berkenaan tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan dan berada dalam keadaan kelam-kabut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain