suria

Dua Suspek Samun & Bunuh Diburu

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang memburu dua pemuda tempatan berusia 20an yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun dan bunuh di sebuah kedai siber di Jalan Berapit, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Zahruddin Abdullah berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 pagi itu mangsa yang juga seorang pelanggan, Hoo Soon Lai, 37 sedang bermain komputer sebelum dua suspek yang memakai topi keledar memasuki kedai itu.

Suspek, katanya, menyembur serbuk lada ke muka dua penjaga kedai terbabit yang kemudian lari ke tandas mencuci muka, dan di waktu itu kedengaran Hoo mengerang kesakitan.

"Lelaki yang cedera di perut itu kemudian ditemui terbaring di atas lantai manakala duit RM700 di kaunter kedai itu hilang. Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, disahkan meninggal dunia lima jam kemudian," Zahruddin memberitahu pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, seorang daripada suspek dipercayai bernama 'Boy' dan polis mempunyai lakaran wajahnya dan percaya dalam tempoh terdekat kedua-dua suspek akan dapat diberkas. Sementara itu, Zahruddin berkata seorang penjaga kedai siber pecah kepala, tangan kanannya hampir putus selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol dan parang di kawasan tokong Cina, Kampung Besar Berapit, Bukit Mertajam, lewat malam tadi.

Katanya, mangsa Tang Cheon Tok, 37, berasal dari Berapit, sedang minum bersama dua rakan sebelum dihampiri empat lelaki yang memakai topeng ski.

Menurutnya, mangsa yang terkejut kemudian ditarik suspek sebelum dibelasah dengan teruk manakala rakan mangsa yang ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa.

"Mangsa hanya mengerang kesakitan sementara suspek melarikan diri menggunakan kereta warna gelap yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Zahiruddin berkata, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat cedera parah.

"Siasatan awal mendapati perbuatan bermotifkan dendam dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat," katanya.

Zahruddin berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Timbalan Supt Wan Khairuddin Wan Idris di talian 017-5200074.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain