suria

"Calon Boleh Menang Tak Harus Pakai Kabel Atau Simpati" - Ketua Pemuda Umno

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno berharap pemilihan calon berdasarkan kriteria 'boleh menang' untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang tidak dipilih atas dasar simpati mahupun calon 'pakai kabel'.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata konsep calon boleh menang seharusnya dibuat atas dasar merit dan keupayaan sebenar seseorang itu demi memastikan kejayaan parti.

"Kami berharap melalui konsep 'winnable candidate', tiada lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon pakai kabel.

"Sebaliknya, 'winnable candidate' perlu dipilih atas dasar merit dan keupayaan sebenar," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno di sini, Rabu.

Pada masa yang sama Khairy turut membidas sikap sesetengah pemimpin dan ahli Umno yang pura-pura menyokong konsep calon boleh menang untuk kepentingan politik peribadi.

Tegasnya, sikap sedemikian perlu diambil tindakan tegas kerana golongan berkenaan cenderung menjadi pembelot kepada parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon.

"Pemuda juga ingin menghantar amaran yang keras. Kami kesal dengan sikap sesetengah kelompok yang hari ini menyokong konsep 'winnable candidate', kononnya berikrar akan membantu 'winnable candidate' untuk menang, sebaliknya beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihanraya kerana menganggap diri mereka sebagai 'winnable candidate'.

"Tetapi apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi. Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu.

"Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap serta langsung tak buat kerja, menghilangkan diri ataupun tak keluar mengundi...kita minta tindakan tegas terhadap mereka ini sebagai pembelot kepada parti," katanya.

Tambah beliau Pemuda meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti dalam menentukan calon yang bakal mewakili parti itu pada pilihan raya akan datang.

"Kita percaya dan menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan serta pertimbangan pucuk pimpinan parti di dalam menentukan pilihan calon yang difikirkan layak sebagai 'winnable candidate' di kalangan ahli parti.

"Ikrar kami kepada presiden, sungguhpun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang, kami tahu yang paling penting adalah untuk memenangi pilihanraya," katanya.

Bagaimanapun Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap kepimpinan tertinggi parti itu turut memberi peluang kepada golongan muda dipilih sebagai calon boleh menang.

"Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan giliran untuk tampil ke hadapan. Kami sama sekali tidak mendesak untuk mengganti yang lama, jauh sekali dari mengaku sebagai terbaik dari semua yang ada.

"Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan, intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih 'winnable candidate' akan datang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Namun jelas Khairy, sayap Umno itu berikrar akan memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih demi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

"Kami dilatih, dididik dan diasuh dalam kilang Umno. Oleh itu walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada presiden, kami akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain