suria

Sebar Maklumat Benar Berkaitan Parti - Rosmah

KUALA LUMPUR: Skuad Sayang Wanita Umno perlu memperluas peranan menyalurkan maklumat benar berkenaan parti kepada rakyat dan tidak hanya menumpukan kepada aktiviti kebajikan semata-mata, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, Skuad Sayang perlu turun padang menyalurkan maklumat untuk mematahkan fitnah pakatan pembangkang terhadap pemimpin negara dan Barisan Nasional (BN).

"Ini kerana sikap berdiam diri di kalangan ahli Umno hanya melemahkan Umno. Jika sikap seperti ini diteruskan, ia seolah-olah memberi gambaran segala fitnah itu benar," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Skuad Sayang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Isnin malam.

Rosmah berkata Skuad Sayang juga perlu sentiasa mencurahkan bakti kerana khidmat yang diberi serta bantuan yang dihulur tanpa mengira pangkat atau kedudukan mampu menyentuh hari rakyat dan menyebabkan mereka akan terus menyokong kerajaan.

Beliau berkata Skuad Sayang perlu bersatu dan menjadikan perpaduan sebagai kesinambungan kemajuan negara bagi memastikan Umno terus mendapat tempat di hati dan sanubari rakyat.

"Tidak dinafikan wujud pihak yang bersikap talam dua muka, sanggup menjadi gunting dalam lipatan dengan hasrat memporak-perandakan kerajaan sedia ada, hanya atas alasan kepentingan politik peribadinya sendiri," katanya.

Rosmah berkata sesebuah parti tidak seharusnya membangkitkan persoalan yang boleh menggugat kesejahteraan di kalangan rakyat Malaysia.

Skuad Sayang, anggota sayap Wanita dalam BN dan diterajui Umno, adalah kumpulan bergerak yang ditubuhkan bagi membantu keluarga miskin serta mangsa bencana.

Projek yang dijalankan adalah berkonsep kebajikan, kesukarelawanan dan kemasyarakatan itu menepati hasrat Umno serta BN bagi memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain