suria

Program Pendaftaran PATI Di Sarawak Kurang Dapat Sambutan

KUCHING: Tempoh masa sebulan untuk pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sarawak yang akan berakhir esok tidak mendapat sambutan apabila hanya 10,400 orang mendaftar berbanding jangkaan 100,000 PATI yang bekerja di negeri ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datuk Robert Lian berkata sambutan yang kurang memberangsangkan itu kemungkinan besar disebabkan keadaan bentuk geografi Sarawak yang luas dan pendaftaran itu hanya dijalankan oleh jabatan berkenaan.

"Berbanding Jabatan Imigresen di Semenanjung yang dibenarkan untuk menggunakan khidmat syarikat pengurus untuk proses pendaftaran itu, di Sarawak kami harus melakukannya sendiri menerusi kaunter statik dan unit bergerak.

"Saya akan bertemu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani selepas tarikh tutup untuk berbincang tentang sambutan dingin pendaftaran ini," katanya dan menambah keputusan sama ada untuk melanjutkan tempoh pendaftaran ini bergantung kepada Mohammad Morshidi.

Menyatakan kekecewaannya, Lian berkata kerajaan agak bimbang tentang masalah PATI di negeri ini.

Tempoh masa selama sebulan bermula 1 November lepas adalah cukup bagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja untuk membuat pendaftaran, katanya.

"Majikan dan pekerja sepatutnya mengambil peluang yang diberi oleh kerajaan kerana sebaik tempoh pendaftaran berakhir dan kerajaan mengambil keputusan untuk memberkas mereka, mereka (majikan dan PATI) tidak harus menyalahkan sesiapa kecuali diri mereka," katanya.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen negeri iaitu sehingga semalam, daripada 10,400 yang berdaftar majoriti terdiri daripada Indonesia (9,743).

Yang lain-lain adalah dari Bangladesh (326), Filipina (238), China (36), Thailand (23), Pakistan (12), India (7), Kemboja (4) Myanmar (3), Sri Lanka (2),Vietnam (2) ,Singapura (1),Taiwan (1),Nigeria (1) dan lain-lain (1).

Sebanyak 7,552 adalah lelaki dan 2,848 adalah wanita telah mendaftar dengan majoriti bekerja di sektor perladangan (6,069) dan lain-lain sektor perkilangan, perkhidmatan dan pertanian.

Pada 30 Oktober lepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam apabila mengumumkan pendaftaran itu bagi Sarawak berkata PATI yang termasuk mereka yang memasuki Sarawak tanpa dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan bekerja tanpa permit yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain